VIVA Ph.D

Syukur kepada Allah, setelah sekian lama menanti saat yang ditunggu, akhirnya hari yang bersejarah ini pun tiba. Bangunan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya ini menjadi saksi segala usaha yang telah dicurahkan selama ini membuahkan hasil.
Se awal 8:00 pagi, saya sudah sampai di Bangunan Fakuti Pendidikan, UM, walaupun waktu yang ditetapkan dalam surat rasmi adalah 9:30 pagi. Saya sarapan dahulu sekadar mengalas perut kemudian terus siap menunggu di hadapan Bilik Mesyuarat Pengurusan. Sampai di situ, terlekat notis pemberitahuan pertukaran venue viva calon phd ke Bilik Dekan Ijazah Tinggi. Tak pe lah, tunggu je la, walaupun dalam hati ini penuh dengan kerisauan.
 
Majlis bermula dan saya diperkenalkan oleh puan Pendaftar kepada ahli panel viva yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Nik Azis dari Jabatan Pendidikan Matematik, Fakuti Pendidikan, UM. Turut hadir adalah Prof. Dr. Esther selaku Timbalan Dekan Ijazah Tinggi, Dr. Zaharah dari Asas Pendidikan dan penyelia saya Dr. Muhammad Azhar Zailaini. Viva berlangsung lebih 1 jam dengan pembentangan dan soal jawab. Sebelum sesi viva dapat dilangsungkan, tesis calon phd perlu dibaca dan dikomen oleh 2 orang pemeriksa luar yang bertaraf Profesor atau Profesor Madya yang dalam bidang pengajian yang sama dengan calon phd. Pemeriksa luar tesis saya adalah Prof. Dr. Tobrani dari Fakulti Agama Islam, Universitas Muhammadiyyah Malang, Indonesia dan Prof. Madya Dato Dr. Abd Halim Tamuri yang merupakan Rektor, Kolej Universiti Islam Selangor.
Oleh kerana pemeriksa luar tidak dapat hadir, pemeriksa luar telah dihubungi dengan telefon bagi memberi pandangan dan cadangan terhadap tesis yang telah saya siapkan. Saya diminta keluar untuk seketika setelah selesai pembentangan dan soal jawab, kemudian dipanggil masuk semula tidak berapa lama kemudian bagi mendengar keputusan panel sesi viva.
 
Pengerusi viva (Prof. Nik Azis) mengumumkan keputusan panel bahawa tesis saya LULUS dengan maksima 6 bulan tempoh pembetulan, Alhamdulillah. Mendengarkan keputusan itu, terdetik dalam benak hati, bermulalah gerbang baru dalam hidup ini sejak dilahirkan ibu 46 tahun lalu, seperti mana sebelum ini Engkau telah berikan kepadaku nikmat untuk menghabiskan hafazan al-Quran pada umurku yang sudah lewat jua iaitu 25 tahun. Semoga Allah swt memberkati sisa-sisa umurku..

Pemeriksa Luar - Prof. Dr. Tobrani