INTENSIF BUKU TAJWID DR SURUL

Pada 2 dan 3 April 2016 baru-baru ini, telah berlangsung Kursus Intensif Buku Ilmu Tajwid di  Auditorium Pustaka Miri, Sarawak. Program anjuran IM Abesyara Consultancy ini telah dihadiri lebih 75 peserta dari sekitar Miri. Penyampainya Dr. Surul telah memberikan penerangan yang ringkas dan padat bagi menjelaskan topik-topik utama dari buku Perbahasan Ilmu Tajwid susunan beliau tersebut. Sebanyak 7 topik utama dari buku Ilmu Tajwid beliau telah dibincangkan meliputi: Pengenalan kepada Qiraat Hafs 'an 'Asim, Hukum Nun dan Mim, Pebahasan Mad, Makhraj, Sifat, Tarqiq, Tafkhim dan diikuti perbincangan dan soal jawab bersama peserta kursus.
Bergambar Kumpulan di Akhir Kursus
Buku Perbahasan Ilmu Tajwid ini adalah buku lengkap yang meliputi perbahasan ilmu tajwid yang menepati apa yang diriwayatkan bacaannya dari Rasulullah s.a.w. menurut Qiraat `Asim, seperti yang diriwayatkan oleh Imam Hafs melalui aliran Imam Asy-Syatibiah. Perbahasan Ilmu Tajwid menurut Imam 'Asim ini adalah merupakan ikutan umat Islam di Malaysia dan sebahagian besar umat Islam di seluruh dunia. Buku ini juga telah disusun menepati kaedah penulisan Al-Quran Resam Uthmani.

Bab-bab dalam buku ini meliputi 14 topik utama dan puluhan sub topik antaranya: Sejarah Penulisaan Ilmu Tajwid dan Qiraat, Pengenalan kepada Qiraat, Riwayat dan Toriq, Tokoh-Tokoh Utama Ilmu Tajwid. Pengenalan kepada Rasm Uthmani. Pengenalan IlmuTajwid, Hukum Nun Sakinah, Mim Sakinah, Ghunnah, Perbahasan Mad-mad Asli, Mad-mad Far`ie yang disebabkan Hamzah, Mad-mad Far`ie yang disebabkan Sukun, Makhraj, Sifat, Tarqiq, Tafkhim, Mutamathilan, Mutaqariban, Mutajanithan, Hamzah Wasal, Waqaf, Ibtida' dan 20 perkara khusus riwayat Hafs 'an 'Asim.



Buku ini adalah hasil usaha penulis setelah lama membabitkan diri bertahun-tahun dalam mengajar ilmu tajwid. Pada mulanya buku ini adalah dalam bentuk lembaran nota-nota yang diedarkan kepada pelajar-pelajar semasa penulis mengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Nota-nota itu telah dikembangkan isinya sambil diperbetulkan kesalahan-kesalahan yang terdapat padanya dari masa kesemasa dan dari tahun ke tahun. Kemudian penulis terpaksa membuat beberapa kajian berdasarkan kitab-kitab induk ilmu tajwid dalam memastikan kesahihan  fakta-fakta yang terdapat dalam buku ini. Semasa menyiapkan buku ini, penulis selalu berhubung dengan Asy-Syeikh Muhammad Abdun Nabiy, seorang pensyarah ilmu Qiraat dan al-Quran Universiti Al-Azhar, Mesir, semasa beliau bertugas di Kelang, Selangor. Al-Sheikh merupakan tempat rujuk utama penulis dalam memastikan kesahihan fakta-fakta dalam penulisan buku ini begitu juga dalam memastikan perkara-perkara yang kabur yang timbul semasa proses penulisan buku ini.
Kulit Buku Perbahasan Ilmu Tajwid edisi 2016
Buku Lengkap "Ilmu Tajwid" susunan Ust./Dr. Surul al-Nadwi ini telah melalui beberapa fasa kemas kini. Buku ini mula diterbitkan oleh Pustaka Salam dengan cetakan sulungnya pada 2004 dengan Jilid 1, diikuti Jilid 2 diterbitkan pada tahun 2005. Pada tahun 2007 kedua-dua jilid ini dicantumkan menjadi sebuah buku setebal 342 mukasurat dengan kulit tipis  (soft cover) juga seperti cetakan sebelumnya.  Setelah mendapat sambutan pasaran, Dr. Surul memutuskan untuk menerbitkan buku ini dengan kulit tebal (hard cover) bermula cetakan ulangan tahun 2009 hingga 2015. Pada tahun 2016, Dr. Surul telah memutuskan untuk memberi nafas baru kepada buku ini dengan beberapa perubahan. Kulitnya kini diubah suai dan diletakkan gambar penulisnya di belakang yg selama ini tidak dipaparkan. Mukasuratnya bertambah sedikit dari yg sebelumnya dari 342 kepada 366 dengan pembetulan, penambahan dan perubahan yang dibuat pada isi kandungan dan bibliografi (tanpa merubah isi kandungan utama buku). Tajuknya pula diubah sedikit kpd "Perbahasan Ilmu Tajwid" dan nama penulisnya telah diletakkan nama sebenar di kulit buku iaitu Dr. Surul Shahbudin al-Nadwi yang sebelumnya menggunakan nama samaran sahaja. Penerbitnya juga telah dipindahkan dari Pustaka Salam kepada Kelas Bimbingan Rehal kepunyaan penulis sendiri . Sehingga cetakan semakan 2016 ini, buku ini telah diulang cetak melebihi 40,000 naskah edaran.
Kulit Buku Ilmu Tajwid cetakan 2007-2015
Kursus Berjalan Lancar, Alhamdulillah
Alhamdulillah peserta di Miri yang terdiri dari orang awam, imam, guru agama, guru al-Quran, pegawai kerajaan dan swasta begitu tekun mengikuti kursus ini.
Peserta berpeluang mengambil tandatangan penulis
Kursus diadakan selama 10 jam dan disampaikan penulisnya sendiri (Dr. Surul al-Nadwi). 
Tentatif Kursus Intensif 10 jam di Miri

Kursus Hafazan di Singapore

Alhamdulillah, susulan dari perkenalan saya dengan peserta-peserta dan penganjur "Seminar al-Quran Bergerak" pada 16 Januari 2016 yang lalu, telah membawa saya untuk menyampaikan Ilmu Allah ke Singapore. Dalam program separuh hari ini, saya telah diberi peluang untuk membentangkan tajuk-tajuk berkaitan "hafazan al-Quran" bersama Ustaz Khairul Anuar. Syukur kepada Allah dengan sambutan hebat dari 230 peserta dari seluruh Singapore pada hari tersebut.

Suasana sepanjang kursus berlangsung

Tajuk-tajuk yang telah dibentangkan
 
Saya kongsikan BAHAN KURSUS yang telah saya bentangkan dalam kursus tersebut. 

Kaedah Talaqqi dan Mushafahah

Alhamdulillah buat kali pertamanya, penulis mengeluarkan sebahagian dari dapatan kajian Ph.D untuk dibentangkan dalam sebuah seminar.

Dr. Surul membentangkan tajuk Kaedah Talaqqi & Mushafahah
Tarikh : 16 Januari 2016 (Sabtu)
Tempat : Masjid Wilayah, Jalan Duta
Masa : 8:30 pagi - 4:30 petang

Seminar ini telah mengupas kepentingan talaqqi Al-Quran bagi semua orang termasuk guru Al-Quran sebagai satu cara menghidupkan budaya membaca Al-Quran dengan bacaan yang tepat dan sempurna. Melalui seminar ini, lebih 200 peserta yang hadir telah dapat:
1. Menyedari kepentingan talaqqi musyafahah kepada para semua individu terutamanya para huffaz dan guru Al-Quran.
2. Menyedari keutamaan mempunyai sanad bacaan Al-Quran yang bersambung secara langsung dengan Nabi Muhammad saw.
3. Menyedari Bahaya dan risiko bacaan Al-Quran seseorang yang tidak mahir, lebih-lebih lagi sebagai seorang guru.
4. Meningkatkan semangat semua lapisan masyarakat untuk terus belajar membaca Al-Quran sehingga ke akhir hayat.

Turut sama membuat pembentangan adalah tokoh-tokoh dalam bidang al-Quran dan Qiraat tanahair.

1. Asst. Prof. Dr. Nik Saiful Azizi Nik Abdullah Al-Hafiz
2. Dr. Khairul Anuar Mohamad Al-Hafiz
3. Dr. Surul Shahbuddin Al-Hafiz
4. Dr. Muhammad Lukman Ibrahim Al-Hafiz
5. PU Hafiz Haneefa Al-Hafiz
6. Ikmal Zaidi Hashim Al-Hafiz
7. Felza Zulhibri Abdul Hamid Al-Hafiz
8. Tarmizi Abdul Rahman Al-Hafiz
9. Mohd Faisal Mohd Noor Al-Hafiz
10. Khairul Anuar Basri Al-Hafiz
11. Nik Farhan Nik Mohamed Al-Hafiz.

PEMBENTANG-PEMBENTANG
Dikongsikan kertas kerja yang dibentang penulis dalam seminar tersebut, semoga dapat dimanfaatkan faedahnya bersama.


TULISAN DI JURNAL ONLINE

Alhamdulillah, tulisan yang saya hantar telah diterima dan sudah pun disiarkan di Jurnal elektronik O-jIE (The Online Journal of Islamic Education), Fakulti Pendidikan Universiti Malaya. Berikut adalah gambar muka hadapan artikel:



Bagi yang berminat membaca keseluruhan artikel, sila ke: ojie.um.edu.my

KURSUS ASAS TALAQQI

Alhamdulillah...
Selesai Kursus Asas Talaqqi di Pusrawi Kuala Lumpur dan Aqrab Istiqamah, Melaka. Kursus di Pusrawi telah mengambil masa 7 kali pertemuan bermula 14 Mac hingga 14 Jun 2015 dengan 43 peserta yang berjaya menamatkan pengajian. Manakala kursus di Melaka pula telah dapat ditamatkan dengan 4 pertemuan dari 16 Mei hingga 13 Jun 2015 dengan 49 peserta.

Kursus ini menumpukan pembelajaran sebutan huruf dan asas-asas hukum tajwid . Kursus mengguna pakai BUKU TALAQQI dan disampaikan oleh penulisnya sendiri (Dr. Surul Shahbudin). Mereka yang tamat Kursus Asas Talaqqi layak melanjutkan pengajian ke peringkat ke 2 iaitu: Kursus Tajwid al-Quran dan seterusnya boleh melanjutkan peringkat ke 3 iaitu: Talaqqi Bersanad dengan Penulis sebagai peringkat terakhir dalam pengajian al-Quran di REHAL.

Intipati Kursus:
Siapa yang boleh mengikuti Kursus Asas al-Quran:
-Terbuka kepada Dewasa (18 ke atas) satu kelas.
-Mereka yang baru mengenal/ tak tahu langsung.
-Ibubapa yang membimbing anak-anak membaca al-Quran
-Guru, imam, mahasiswa yang mahu memantapkan bacaan
-Sesiapa sahaja yang berminat dengan Ilmu Tajwid.

Kursus Asas al-Quran memberi peluang kepada peserta:
-Mempelajari asas-asas membaca al-Quran bertajwid.
-Memahami hukum-hukum asas dalam Ilmu Tajwid.
-Mencuba bacaan bertajwid secara Talaqqi & Musyafahah
-Sijil TAMAT Pengajian diberikan kepada peserta.
-Layak mengikuti Kursus Tajwid Lengkap.
-Layak menyertai kelas Talaqqi Bersanad.

Keistimewaan buku Talaqqi berbanding buku asas lain:
* Panduan Pembelajaran Dari Peringkat Awal
* Penekanan Cara Sebutan Huruf Yang Betul
* Disusun Bertepatan Dengan Resam Uthmani
* Penerapan Hukum Tajwid Secara Praktikal
* Sesuai Untuk Semua Peringkat Umur

Bergambar dengan peserta daripada Pusrawi

Peserta daripada Aqrab Istiqamah Melaka


KURSUS LENGKAP ILMU TAJWID 2015


Bersama Penulis Buku : Ilmu Tajwid (Dr.Surul Shahbudin)

Alhamdulillah...
Seramai 26 peserta Kursus Lengkap Ilmu Tajwid telah menamatkan kursus dengan jayanya bermula 2 Mac hingga 15 Jun 2015 tahun ini.

Kursus Lengkap Ilmu Tajwid merupakan kursus peringkat ke2 iaitu lanjutan kepada Kursus Asas Talaqqi. Walaupun begitu, peserta boleh juga mengikuti kursus Lengkap Ilmu Tajwid tanpa mengikut susunan ini, jika mereka pasti tentang kemampuaan bacaan mereka. Kursus Lengkap Ilmu Tajwid akan mengguna pakai BUKU ILMU TAJWID susunan UST SURUR yang akan disampaikan oleh penulis sendiri. Mereka yang tamat Kursus Tajwid al-Quran akan melanjutkan peringkat ke3 iaitu: Talaqqi Bersanad dengan Penulis sebagai peringkat terakhir dalam pengajian al-Quran di REHAL. 

TEMPAT KURSUS 
Kursus akan diadakan di Ibu Pejabat REHAL RESOURCES, beralamat di Kelas Bimbingan Rehal, 4 Jalan Camar 4/3, Seksyen 4, Kota Damansara, Selangor.  - PELAN LOKASI (GOOGLE)

TEMPOH & MASA KURSUS
Kursus akan diadakan 1 tahun sekali sahaja iaitu dimulakan setiap awal tahun dan berakhir sebelum Ramadan, iaitu sebanyak 15 pertemuan (30 JAM) pada setiap jam 8:00-10:00 malam.
  
 
PENYAMPAI KURSUS
Kursus akan disampaikan oleh penyusun buku sendiri, DR. SURUL SHAHBUDIN.
 
PESERTA -TERHAD KPD 40 PESERTA SHJ setiap tahun, untuk yang berumur 19 tahun ke atas shj.
 
Bergambar bersama peserta kursus
 
 
 
 
 





    





KANDUNGAN KURSUS*
Berikut adalah anggaran pengisian kursus selama 15 pertemuan tersebut:

MINGGU 1: Pengenalan kepada Ilmu Tajwid, Hukum dan Dalil,  Kesalahan Nyata dan Tersembunyi, Tahap-tahap bacaan, Isti’azah wa Basmalah. Praktikal BerTajwid: al-Fatihah, al-Baqorah 1-5.
MINGGU 2: Hukum Nun Sākinah dan Tanwin: Idgham Bila Ghunnah, Ma’al Ghunnah, Izhar Mutlaq, Iqlab dan Ikhfa’ Haqiqi. Praktikal Bacaan BerTajwid: al-Baqorah 6-16.
MINGGU 3: Hukum Mim Sākinah, Hukum Nun Mim Bersabdu, Izhar Qamari dan Idgham Syamsi. Praktikal Bacaan BerTajwid: al-Baqorah 17-24.
MINGGU 4: Pengenalan kepada Mad dan Pembahagian Mad Asli.
MINGGU 5: Praktikal BerTajwid: al-Baqorah 25-29.
MINGGU 6: Mad-mad Far`ie yang disebabkan Hamzah, Hafs Toriq Syatibiyyah.
MINGGU 7: Aliran-aliran Mad Munfasil. Praktikal Bacaan BerTajwid: al-Baqorah 30-37.
MINGGU 8: Mad-mad Far`ie yang disebabkan Sukun ‘Aridh, Praktikal Bacaan BerTajwid: al-Baqorah 38-48.
MINGGU 9: Mad-mad Far`ie yang disebabkan Sukun Asli (Mad-mad Lazim).
MINGGU 10: Makhraj Huruf & Sifat-sifat Huruf. Praktikal Bacaan BerTajwid: al-Baqorah 49-57.
MINGGU 11: Tarqiq wa Tafkhim (Huruf Istifal & Isti’la’), Hukum Ro.
MINGGU 12: Ujian Praktikal BerTajwid: al-Baqorah 58-61.
MINGGU 13: Waqaf & Ibtida’.
MINGGU 14: Hamzah Wasal, Qato’ dan Iltiqo’ Sakinain.
MINGGU 15: Ujian Praktikal  Bacaan Bertajwid.

*tertakluk perubahan

JUMPA SEPTEMBER NI UNTUK KURSUS ASAS AL-QURAN, layari:

http://www.rehal.org/kursus

Bengkel Lautan Al-Fatihah

Bengkel Sehari Lautan Surah Alfatihah
4 April 2015

Bengkel ini mengabungkan 3 orang pendakwah yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Dr Surul Shahbudin Hassan akan menyampaikan Ijazah Talaqqi Surah Al-Fatihah, penceramah ke 2 iaitu Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim akan menyampaikan ceramah bertajuk Misteri Al-Fatihah: Khazanah dari Arsy. Penceramah yang terakhir ialah Ustaz Muhammad Najib Abdullah yang mengulas Surah Al-Fatihah dari Sudut Pengamalan Perubatan Islam.



Slot 1: Dr. Surul menjelaskan perkara-perkara yang menjadi ciri utama dalam mengenal pasti bacaan al-Quran yang betul. Ciri-ciri yang diketengahkan akan menjadi panduan bagi seseorang untuk membaca al-Quran dengan betul, begitu juga panduan bagi mengukur bacaan orang lain yang ia dengar.

Sandaran utama bagi bacaan yang betul ialah apa yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat r.a. sebagaimana baginda memperolehinya daripada Jibril a.s. Bacaan ini kemudiannya diwarisi turun temurun melalui usaha pelopor-pelopor bacaan yang dikenali sebagai Qurra’ kepada generasi selepasnya sehingga sekarang.

Para Qurra’ dalam memelihara kesahihan Ilmu ini telah mewariskan dua perkara utama. Pertama, teori Ilmu Tajwid dan Qiraat yang diabadikan dalam kitab-kitab mereka. Kedua, murid-murid yang mewarisi bacaan yang mereka perolehi dari guru-guru mereka yang berkesinambungan hingga kepada Rasulullah s.a.w.

Dalam memastikan bacaan al-Quran seseorang itu betul atau salah, sebenarnya para Qurra’ mempunyai piawaian yang tetap dalam penilaian mereka. Oleh itu piawaian pembacaan yang selama ini hanya tersimpan dalam kayu ukur para Qurra’ akan cuba didedahkan.

Melalui ciri-ciri bacaan yang betul ini, diharapkan suatu skema yang menjadi piawaian bacaan akan diketengahkan untuk menjadi panduan umum. Maka seseorang akan terus bertumpu kepada bacaan Al-Quran yang betul tanpa perlu lagi mengetahui teori-teori Ilmu Tajwid dan Qiraat yang memeningkan yang hanya sesuai untuk mereka yang ahli sahaja.
Penerangan daripada Dr/Ustz Surur Shahbudin



Slot 2: Antara isi kandungan oleh Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim bertajuk Misteri Al-Fatihah: Khazanah dari Arsy:

AL-FATIHAH: dinamakan al-Fatihah (pembuka) kerana kedudukannya sebagai pembuka bagi surah al-Quran. Surah ini mengandungi 7 ayat dan diturunkan di Mekah. Surah ini juga mempunyai banyak nama di antara yang paling terkenal ialah ialah Umm al-Kitab, Umm al-Qur’an, al-Syafi dan sebagainya.

Surah ini mempunyai kedudukan yang istimewa di dalam al-Qur’an, ia menjadi rukun bacaan di dalam solat berdasarkan sabda nabi yang bermaksud: Tidak sah solat orang yang tidak membaca (mengucapkan) surah al-Fatihah (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Surah ini & ayat akhir surah al-Baqarah juga diiktiraf sebagai dua cahaya yang tidak pernah diberikan kepada mana-mana nabi sebelum nabi Muhammad SAW. Ia juga diiktiraf sebagai surah yang paling agung di dalam al-Quran (Sahih Muslim).

(AYAT 1) - LAFAZ BASMALAH (بسم اله الرحمن الرحيم ).
Para ulama’ bersepakat menyatakan bahawa surah al-Fatihah mengandungi 7 ayat. Hujah ini berdasarkan surah al-Hijr[15:87]:

“Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya”.

Para ulama’ sepakat mengatakan bahawa 7 ayat yang diulang-ulang ini bermaksud surah al-Fatihah. Namun begitu lafaz Basmalah masih diperselisihkan oleh para ulama’ sama ada ia merupakan satu ayat daripada al-Fatihah atau tidak. Menurut pendapat Imam Shafie, Hambali & Hanafie, Basmalah adalah satu ayat daripada al-Fatihah, manakala Imam Maliki berpendapat sebaliknya. Oleh itu, para ulama’ yang menolak pengiraan Basmalah sebagai satu ayat akan memotong dan meletakkan nombor ayat (6) pada ayat ( صراط الذين أنعمت عليهم ).

Menurut sebuah hadith Rasulullah SAW daripada Abu Hurayrah:

“Setiap percakapan atau urusan yang tidak dimulakan dengan menyebut nama Allah akan terputus (daripada rahmat)”(Musnad Ahmad).

Dalam banyak hadith, baginda selalu memulakan urusannya dengan lafaz Basmalah seperti ketika memeterai perjanjian dengan pihak kafir quraisy di Hudaybiyah (Shahih Muslim), mengubati sebarang penyakit (Shahih Muslim), mengutus pasukan tentera untuk sesuatu urusan jihad (Sunan Abu Dawud), sebelum menyembelih sembelihan (Shahih al-Bukhari) dan sebagainya.

Selain itu, beberapa nabi sebelum nabi Muhammad juga pernah menggunakan lafaz ini iaitu; Nabi NËÍ AS ketika memulakan pelayaran bahteranya (Hud[11:41]) dan nabi Sulayman AS ketika menghantar surat seruan Islam kepada ratu Saba’ (al-Naml[27:30]).

(AYAT 2-4) - PUJIAN KEPADA ALLAH DAN SIFAT ALLAH
1) Cara terbaik untuk memuji Allah dengan menggunakan lafaz (الحمدلله ). Lafaz ini juga adalah ucapan para malaikat di Arasy (al-Zumar[39:75]) & ucapan ahli syurga (Yunus[10:10]).

2) (الرحمن ) bermaksud Allah yang Pemurah kepada semua makhluk tanpa mengira jenis, agama dan sebagainya. Manakala perkataan (الرحيم ) mempunyai maksud yang lebih khusus iaitu sifat Allah yang Maha Mengasihani hambanya yang mu’min.

3) Kekuasaan mutlak pada hari kiamat hanya milik Allah. Perkataan (مالك يوم الدين ) membuktikan hanya Allah satu-satunya raja yang berkuasa mutlak untuk memasukkan seseorang itu ke syurga atau neraka.

(AYAT 5) - IKRAR IBADAH DAN TEMPAT PERGANTUNGAN HANYA KEPADA ALLAH
Lafaz permohonan dalam ayat ini datang secara jama’ (ramai - نعبد ، نستعين ) bukan secara mufrad (individu - أستعي )أعبد، ) sebagai suatu pengiktirafan terhadap kelemahan makhluk apabila berhadapan dengan Allah yang Maha Agung. Seolah-olah tanpa bantuan saudara Islam yang lain, manusia sama sekali tidak layak (disebabkan oleh dosa, segala kekurangan dan kelemahan mereka) untuk berhadapan atau memohon kepada Allah.

Ayat ini juga mengandungi intisari Tawhid yang tertinggi, iaitu hanya Allah satu-satunya Zat yang wajib disembah & dijadikan tempat memohon pertolongan.

(AYAT 6-7) – DOA PETUNJUK (HIDAYAH) & JALAN PILIHAN
Terdapat 2 jenis hidayah kurniaan Allah iaitu:

1-Hidayah umum (ilham/naluri, perasaan, aqal & petunjuk agama)
2-Hidayah khusus (Tawfiq atau kekuatan untuk senantiasa mentaati Allah). Hidayah kedua (khusus) hanya dimiliki oleh Allah sahaja (al-Baqarah[2:272], al-An‘am[6:90], al-Qasas[28:56]) (Tafsir al-Munir).

Dalam bacaan al-Fatihah (dalam solat atau luar solat), kita disuruh berdoa meminta hidayah Tawfiq (jenis kedua) agar senantiasa berada di atas jalan yang lurus sehingga akhir hayat seperti jalan orang yang sudah dikurniai ni’mat iman iaitu:

1) Para nabi, orang yang benar, orang yang mati syahid dan orang soleh. Ayat ini ditafsirkan dengan surah al-Nisa’[4:69]:
وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْ عَمَ ال لَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وال ههَُّدَا وَالصَّل يِنَ وَ نََُ أُولَئِكَ فَِياقل

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat)”.

Lafaz ayat ini juga adalah antara lafaz terakhir yang diucapkan oleh Rasulullah AW sebelum kewafatan baginda bersama lafaz berikut (اللهم في الرفيق الأعلى - Ya Allah! [Aku mohon kembali] pada pangkuan tertinggi]) (Sahih al-Bukhari).

Kita juga diminta agar dijauhi daripada jalan yang dilalui 2 kumpulan manusia iatu:
2) Orang yang dimurkai Allah (orang Yahudi atau orang yang masih menentang Allah setelah mengetahui kebenaranNya).
3) Orang yang sesat/terpesong daripada kebenaran (orang Nasrani atau orang yang terpesong daripada kebenaran atau tidak mengetahui kebenaran dengan cara yang betul).

LAFAZ AMIN:
Suatu doa yang bermaksud: Terimalah daripada kami dan perkenankanlah doa kami. Ia berasal daripada hadith nabi:
"Apabila imam menyebut Amin, maka sebutlah Amin. Maka sesungguhnya sesiapa yang bersamaan bacaan Aminnya dengan bacaan Amin malaikat, diampunkan dosa terdahulu" (Sahih al-Bukhari).




Slot 3: Isi kandungan penyampaian Ustaz Muhammad Najib Abdullah yang mengulas Surah Al-Fatihah dari Sudut Pengamalan Perubatan Islam.

 




Manusia yang paling dikasihi Allah ialah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia. Amalan yang paling dikasihi Allah ialah kegembiraan yang engkau isi ke dalam hati seorang Muslim atau kesusahannya engkau atasi atau hutangnya engkau lunaskan atau kelaparannya engkau hilangkan. Aku lebih suka keluar memenuhi hajat saudaraku daripada beri’tikaf dalam masjid selama sebulan....Hadis riwayat Ibn Abi Dunya dan al-Tabrani daripda Ibn ‘Umar RA.

RUQYAH DALAM PENGUBATAN ISLAM
ما يُقَرأ من الدعاء لطلب الشفاء بالقرآن وأسماء الله وصفاته وبالذكر؛ نوع من العلاج له أثر مادي من الأمراض العضوية، كما أن له أثرا في الجوانب المعنوية والنفسية
Sesuatu yang dibaca berupa doa bagi mencari kesembuhan menggunakan al-Quran, nama2 Allah, sifat2Nya dan zikir. Ia sejenis rawatan yg memberi kesan fizikal pada penyakit jasmani selain kesan spiritual.

OBJEKTIF RUQYAH DALAM RAWATAN
Menonjolkan kemukjizatan wahyu Allah.
-SYIFA & RAHMAH
-Ayat al-Syifa’
-Al-Ruqa al-Nabawiyyah
Mengajak pergantungan kepada Allah SWT.
-Kesembuhan milik Allah SWT.
Menghayati adab-adab berdoa.
-Kemakbulan doa = kaedah+peribadi yg berdoa
Melengkapkan usaha berikhtiar mencari kesembuhan.
-Kesembuhan tidak boleh dibeli dgn wang ringgit

Analisis dalil
Ijitihad Abu Sa’id al-Khudri dalam melakukan ruqyah dengan surah al-Fatihah
Dibenarkan oleh Rasulullah
Mengambil upah daripada ruqyah
Kaedah pelaksanaan ruqyah dengan meludah (al-Tafl)
Keampuhan surah al-Fatihah sebagai ruqyah bagi semua jenis penyakit khasnya bisa sengatan

SURAH AL-FATIHAH SEBAGAI AMALAN SEORANG PENGAMAL RUQYAH
Keberkesanan ruqyah bergantung kepada kesolehan seorang Raqi.
Analogi kekuatan ubat melawan penyakit
Gabungan antara kefahaman tentang surah al-Fatihah + pergantungan kepada Allah + kefahaman terhadap penyakit + kaedah = kesembuhan penyakit.

Berkata Ibn al-Qayyim: “Aku pernah mengalami sakit ketika berada di Mekah dalam keadaan tiada ubat dan doktor lalu aku berubat dengan membaca berulang-ulang kali surah al-Fatihah pada air zamzam dan aku minum, sehingga aku sembuh dengan sempurna, lalu aku praktikkan kaedah ini pada banyak penyakit dan ia bermanfaat”- al-Tibb al-Nabawi

Bergambar dengan penceramah dan peserta